DUN Pulau Pinang tolak usul minta Ketua Menteri bercuti

Astro Awani
Mei 22, 2017 05:46 MYT
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini menolak usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti berikutan kes rasuah yang dihadapinya. - Gambar fail
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini menolak usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti berikutan kes rasuah yang dihadapinya.
Usul yang dibawa Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) itu ditolak Speaker Datuk Law Choo Kiang atas alasan teknikal.
Law ketika menolak usul itu berkata isu itu tidak perlu dibincangkan dalam persidangan dewan kerana perkara-perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997.
"Saya sudah ambil masa yang lama untuk buat keputusan ini...saya tidak perlu mengulas lanjut malah kalau saya nak tolak pun saya boleh tolak secara teknikal," katanya.
Usul yang dikemukakan Muhammad Farid itu menyebut bahawa mana-mana anggota pentadbiran Pulau Pinang dan Penjawat-penjawat Awam di negeri Pulau Pinang yang telah didakwa di mana-mana mahkamah atas kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang Malaysia hendaklah mengambil cuti daripada jawatan yang dipegang sehingga perbicaraan ke atasnya selesai dan dimuktamadkan. - BERNAMA
#Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang #Law Choo Kiang #Lim Guan Eng #Muhamad Farid Saad #Peraturan-peraturan Pegawai Awam Pulau Pinang 1997 #Perlembagaan Negeri Pulau Pinang