[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
POLITIK

DUN Sabah bubar hari ini

Assim Hassan 06/10/2025 | 06:58 MYT
Pembubaran itu diumumkan oleh Hajiji pada sidang media khas di sini, petang Isnin. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.

Pembubaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada sidang media khas petang Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.

“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa, Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 6 Oktober 2025.

[TERKINI] DUN Sabah bubar berkuat kuasa Isnin, 6 Oktober

“Ini memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka,” katanya dalam sidang media Khas di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata, beliau kekal sebagai Ketua Menteri sehingga selesai pilihan raya negeri dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Selain itu tambahnya, keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap demokrasi dan proses perlembagaan.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata, kerajaan pimpinannya mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal.

Tegasnya, tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran yang diwarisi ini.

Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan, tambah beliau.

“Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.

“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan – membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.

“Besar harapan saya agar keputusan pilihan raya kelak akan mengukuhkan suara rakyat, menjaga kestabilan dan keselamatan, serta memastikan kemajuan berterusan untuk Sabah tercinta,” tambahnya.





#DUN Sabah #PRN Sabah ke-17 #Musa Aman #Hajiji Noor