KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 akan dibubarkan pada Isnin ini, bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13.
Menurut sumber, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka membuat pengumuman mengenai perkara tersebut di Kompleks Satria Pertiwi di Kuching pada petang Jumaat.
Difahamkan pada sebelah pagi hari yang sama, beliau akan mengunjungi Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Sebelum ini, teka-teki mengenai tarikh tersebut mula diperkatakan sejak sebelum Persidangan DUN Sarawak ke-19, yang berlangsung sejak 12 hingga 21 Oktober.
Difahamkan, pihak-pihak yang berkaitan dengan urusan tersebut tersebut, terutamanya pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan tiada pertambahan kerusi memandangkan tambahan 17 kerusi yang diluluskan pada Persidangan DUN Sarawak pada 2025, kini dalam proses kajian persempadanan semula.
Ia dijangka mengambil masa setahun selain tidak sempat diguna pakai.
Kali terakhir PRN Sarawak diadakan adalah pada 18 Disember 2021, yang menyaksikan GPS menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Sehingga Persidangan DUN yang berakhir Rabu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mempunyai 80 kerusi.
Ia setelah Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memiliki empat wakil rakyat dibubarkan dan ahlinya diserap secara en-bloc ke dalam PDP pada 2025.
Seorang lagi wakil rakyatnya, ADUN Batu Lintang See Chee How, lebih dahulu mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi mesra GPS.