KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Ia antara lain menggantikan terma Ketua Menteri kepada "Premier'.

Dalam sesi undian selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada petang Selasa,67 ADUN menyokong pindaan tersebut manakala enam Ahli Dewan Biasa tidak bersetuju.

Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, RUU berkenaan yang dibahaskan oleh 16 ADUN sebelum diluluskan.

" 67 menyokong, enam tidak sokong.

"Oleh itu, usul ini dipersetujui. Dewan kini akan memutuskan sehingga seluruh dewan mempertimbangkan rang undang-undang yang komited kepada jawatankuasa itu," umum Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar sejurus selepas undian.

Turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan jawatan ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri.’

Terdahulu pindaan  untuk dicadangkan untuk menamakan semula terma Ketua Menteri kepada ‘Premier’ bagi menghormati Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 Akta A1642 yang telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa 11 Februari lalu.

Pindaan Akta A1642 itu juga merangkumi pindaan Perkara 1(2), 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan yang juga selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia antara Persekutuan Malaya, dan Sabah.

Bagaimanapun, ia perlu dipersembahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebelum diwartakan.