KUALA LUMPUR: Ekosistem politik di negeri Sabah memerlukan kepimpinan dan kesedaran yang matang.

Demikian pendapat Penyelidik Geopes Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Syahruddin Hj Awang Ahmad yang melihat pergolakan politik Sabah amat merumitkan serta menyusahkan banyak pihak.

“Yang perlu dipenuhi ekosistem politik di Sabah adalah kepimpinan dan kesedaran berpolitik yang matang.

“Mana-mana ahli politik sekarang sama ada pucuk pimpinan, pemimpin di peringkat pertengahan mahupun peringkat akar umbi perlu jelas. Mungkin boleh menggunakan pendekatan viral misalnya, tonjolkan individu vokal untuk menyuarakan keadaan sebegini sebenarnya rumit, keadaan yang menjerumuskan semua pihak ke satu keadaan yang menyusahkan semua orang.

“Jika ada individu yang sebegitu, orang itu adalah pemimpin masa depan yang boleh menjadi wakil Borneo khususnya Sabah. Orang itu selayaknya dapat meyetarakan komponen kuasa Borneo sama macam GPS di Sarawak dan mempunyai suara yang kuat dan berpengaruh di peringkat Persekutuan,” katanya.

Dr Syahruddin bercakap dalam program Pantau Kerajaan Baharu mengenai kemelut politik semasa yang berlaku di Sabah ketika ini. 

Dalam pada itu, beliau melihat Datuk Seri Hajiji Noor sebagai individu tepat untuk tampil ke hadapan memandangkan beliau kini mengisi tampuk kerajaan di Sabah.

“Istilah berlapang dada lebih tepat untuk merungkai masalah sekarang. Buka pintu untuk semua pihak meluahkan hasrat masing-masing mengemukakan pendekatan atau formula sesuai seterusnya merumuskan kebaikan untuk dinikmati bersama.

"Sebagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nyatakan dalam sidang akhbar semalam, dengan adanya sikap berlapang dada, ia boleh meredakan ‘suhu’ atau kepanasan yang sedang berlaku sekarang,” tambahnya.