[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
POLITICS

Elak guna ayat al-Quran, hadis demi capai matlamat politik - Mohd Na'im

Bernama 21/04/2025 | 09:00 MYT
Mohd Na’im berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri YAPEIM dan Perasmian Ibu Pejabat YAPEIM yang baharu di Menara Ochre @ Alamanda Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar hari ini menegur semua pihak khususnya ahli politik, agar tidak menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah, demi mencapat matlamat perjuangan politik khususnya ketika kempen pilihan raya.

Ringkasan AI
  • Mohd Na'im Mokhtar menegur ahli politik agar tidak menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai modal di pentas ceramah untuk tujuan politik.
  • Pandangan hukum sebaiknya dirujuk kepada jabatan mufti atau badan agama yang berautoriti untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
  • Kempen pilihan raya seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan isu sensitif seperti kaum, agama, dan institusi raja.

Beliau berkata perbuatan seumpama itu seharusnya dielakkan, lebih-lebih lagi sekiranya yang memerlukan rujukan pihak berkuasa seperti jabatan mufti atau badan agama di negeri-negeri.
"Pada sayalah, kalau ia melibatkan pandangan hukum, sebaik-baiknya elak (daripada berlaku) sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.
"Kalau melibatkan satu pandangan hukum, boleh rujuk kepada jabatan mufti dan negeri-negeri, sebab ini pihak yang berautoriti. Cuma, jangan salah gunakan untuk kepentingan politik, ini yang paling utama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri dan merasmikan ibu pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini hari ini.
Mohd Na'im berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pemimpin parti politik yang sering menggunakan agama sebagai bahan kempen di pentas ceramah bagi meraih undi khususnya.
Terdahulu, Mohd Na'im menerusi hantaran di Facebooknya menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berkaitan keutamaan menunaikan tanggungjawab untuk mengundi berbanding mengerjakan ibadah haji.
Beliau meminta supaya pihak terbabit mementingkan ilmu dan adab dalam membuat kenyataan berkaitan hal-hal agama.
Media melaporkan, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kekesalan dengan kaedah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang masih menyentuh isu-isu sensitif, termasuk isu kaum, agama, dan institusi raja (3R).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kempen seharusnya menumpukan kepada kelebihan parti dan calon, bukan merendah-rendahkan pihak lain.
-- BERNAMA
#Mohd Na'im Mokhtar #ahli politik #gunakan ayat al-Quran dan hadis #modal ceramah #terkini