KUALA LUMPUR:Politik konfrontasi yang wujud dalam Umno Sabah merugikan parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Umno itu yang mengulas mengenai Pilihan Raya Sabah (PRN) dalam laman Facebooknya malam tadi, berkata sekiranya politik rekonsiliasi digunapakai, lebih banyak kerusi boleh dimenangi parti itu.

"Percubaan mendapatkan banyak kerusi untuk bertanding tak semestinya untung. Yang lebih penting adalah kerusi yang dimenangi, bukan yang ditandingi.

"BN (Barisan Nasional) bertanding di 41 (kerusi), menang cuma 14 (manakala) PN (Pakatan Nasional) bertanding 27 tapi menang 17," kata Setiausaha Agung BN itu.

Beliau turut menyentuh mengenai keharmonian jentera BN dan PN di semua peringkat termasuk pemimpin yang bermasalah di banyak kawasan, mengakibatkan masing-masing bergerak bersendirian.

Mengenai pemilihan calon Ketua Menteri Sabah antara BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Annuar menjelaskan jawatan tersebut sudah ditawar kepada UMNO oleh pimpinan Bersatu sebelum PRN.

"Jawatan Ketua Menteri sebenarnya ditawar kepada UMNO oleh pimpinan Bersatu sebelum penamaan calon dan silap UMNO adalah tidak menyahut tawaran itu dan (kerana) kita ada pendekatan sendiri.

"Pendekatan itu menimbulkan kerumitan apabila jumlah kerusi BN jauh lebih rendah daripada apa yang diharapkan," jelasnya.

 
Sumber Facebook tansri.annuarmusa


Bagaimanapun, Annuar berkata, secara keseluruhan, Umno dan BN Sabah berjaya menumbangkan kerajaan Warisan yang sebenarnya merupakan satu tugas sukar.

"Meskipun kecewa jumlah kerusi hanya 14, tidak seharusnya (kita) terlalu berpendirian negatif dan rasa gagal.

"Pada saya Umno Sabah mencapai kejayaan besar. Daripada tinggal hanya satu kerusi pada 2018, kini Umno Sabah mempunyai 14 ADUN (ahli Dewan Undangan Negeri), bersama satu jawatan TKM (timbalan ketua menteri), empat menteri (negeri), mungkin lima hingga enam timbalan menteri (negeri), dua ADUN dilantik, timbalan speaker dan lain-lain," katanya.

Beliau merumuskan kejayaan itu sebagai hasil politik muafakat dalam GRS dan menegaskan persengketaan menjadi punca gabungan itu tewas sekurang-kurangnya 10 kerusi termasuk akibat pertembungan sesama sendiri.

"Usah kita lebarkan perpecahan yang amat didambakan musuh politik kita. Troopers mereka bergentayangan (berkeliaran) di alam siber dan menyamar sebagai akar umbi Umno dan cuba melaga-lagakan BN, MN dan PN.

"Sekiranya mereka berjaya, maka berjayalah mereka menewaskan kita di PRU akan datang. Maka bermuafakatlah, bersatulah kerana itu kekuatan kita. Kelemahan kita, kita perbaiki bersama insya-Allah," katanya.