Empat muka baharu akan ditampilkan untuk mewakili DAP Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Empat muka baharu itu adalah Phoong Jin Zhe bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang;, Tan Lee Fatt (DUN Likas); Janie Lasimbang (DUN Kapayan) serta Noorita Sual bagi kerusi Parlimen Tenom).

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt dalam satu sidang media di Ibu Pejabat parti itu, di Lintas, hari ini.

Pengumuman calon itu juga, menjadi penamat kepada krisis pembahagian kerusi di Sabah melibatkan DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tular di media sosial sebelum ini.

Stephen Wong berkata, DAP Sabah akan bertanding di tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN selepas mengadakan perbincangan dengan Warisan dalam soal pembahagian kerusi.

"Hari ini saya mengumumkan kepada semua penyokong senarai calon yang telah ditentukan yang akan bertanding di tiga parlimen dan tujuh kerusi DUN di Sabah.

"DAP yang merupakan salah satu rakan dalam Pakatan Harapan telah bersedia, dan selepas mengadakan rundingan bersama Warisan inilah keputusan kerusi yang telah kita dapat," katanya.

Stephen Wong turut menyeru semua penyokong DAP agar berkerjasama dengan semua parti dalam Pakatan Harapan dan juga Warisan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di PRU14.

"Saya ingin menyeru kepada semua penyokong, rakan-rakan dan ahli-ahli DAP, kita mahu mengukuhkan persefahaman supaya mempunyai peluang yang lebih baik untuk tumbangkan BN, di Putrajaya dan juga di Sabah.

"Saya juga ingin menasihati penyokong agar dapat berjalan bersama untuk negara kita, saya juga mahu semua penyokong agar menyokong calon Pakatan Harapan dan calon Warisan di Sabah," katanya.