JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (exco) yang baharu dijadual mengangkat sumpah jawatan di Istana Bukit Serene di sini, pagi esok.
Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Pengamal media turut dijemput membuat liputan di kedua-dua pintu masuk utama istana bermula 9.30 pagi.
Ahad lepas, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
PRN Johor yang berlangsung Sabtu lepas, menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
-- BERNAMA