Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof yakin tsunami politik seperti mana yang berlaku pada Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) pada 2011 tidak akan berulang pada PRN kali ini.

Ini kerana hasil pemerhatian dan maklum balas yang didapatinya, kata Fadillah, rata-rata pengundi Cina termasuk di kawasan bandar dilihat lebih terbuka pada calon BN berikutan faktor Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

"Tidak akan berlaku tsunami cuma sekarang cabaran kami bagaimana kami nak meyakinkan pengundi Cina supaya memilih BN. Tetapi saya kira inilah masa terbaik buat pengundi Cina mengundi BN."

"Mereka sudah lihat dan terbukti Adenan sudah buat begitu banyak bagi rakyat Sarawak. Kalau kita sudah dapat Ketua Menteri begitu baik, jadi inilah masa kita kena bagi sokongan kerana salah satu yang dihasratkan iaitu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dituntut oleh masyarakat Cina telah diiktiraf oleh negeri Sarawak.

"Pulau Pinang pun belum iktiraf UEC, satu-satunya negeri yang mengiktiraf UEC ialah Sarawak," katanya kepada Astro AWANI selepas mengadakan program walkabout bersama calon BN Dun Nangka, Dr Anuar Rapaee di Kampung Nangka di sini.


Sentimen pengundi Cina juga katanya, dilihat berbeza berbanding pilihan raya dahulu.

"Kalau kita jumpa dengan mereka (pengundi Cina) sudah nampak perasaan itu, begitu mesra berbanding pilihan raya lepas. Saya kira ada kemungkinan mereka akan kembali kepada BN," katanya.

Sementara itu, Dr Anuar turut memberi tumpuan kepada pengundi Cina biarpun ia hanya mewakili kira-kira 27 peratus di kawasan berkenaan.

"Saya mendapati sambutan mereka amat mengalakkan malah mereka menerima serta amat memuji kepimpinan Ketua Menteri. Jadi saya rasa faktor Adenan paling penting dalam meraih sokongan dalam kalangan masyarakat Cina," katanya.

Rakyat Sarawak akan keluar mengundi pada 7 Mei ini.