Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

Fitnah kumpulan WhatsApp tidak berasas, bermotif politik - Pejabat MB Selangor

Ernalisa Othman 16/11/2025 | 08:45 MYT
Pejabat itu menegaskan bahawa tuduhan tersebut bersifat fitnah dan tidak sewajarnya dijadikan rujukan masyarakat.
SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor (PMBS) hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular dalam sebuah kumpulan WhatsApp melibatkan seorang pegawainya, yang disifatkan sebagai mempunyai niat jahat dan bermotifkan politik.


Ringkasan AI
  • Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan fitnah melibatkan pegawai mereka yang disifatkan mempunyai niat jahat dan bermotifkan politik semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026.
  • Tuduhan tersebut dianggap tidak berasas, dan pejabat tersebut akan membuat laporan rasmi bagi menangani isu fitnah ini.
  • Pejabat Menteri Besar Selangor menekankan pentingnya menjaga adab komunikasi dalam media sosial untuk fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri.


PMBS berkata dakwaan itu timbul ketika Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada Jumaat lalu.

Pejabat itu menegaskan bahawa tuduhan tersebut bersifat fitnah, tidak tepat dan tiada asas fakta, serta tidak sewajarnya dijadikan rujukan masyarakat.

PMBS menjelaskan, pegawai terbabit akan membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menangani isu fitnah ini secara rasmi.

"Laporan tersebut adalah tindakan bertanggungjawab bagi memastikan fokus rakyat dan pentadbiran negeri tetap kepada agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

"Isu itu seharusnya tidak dijadikan alat politik tidak matang yang bertujuan membina persepsi negatif, liar, dan palsu terhadap pentadbiran kerajaan negeri,” menurut kenyataan PMBS.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kewujudan kumpulan WhatsApp dinamakan ‘MB Selangor’, yang dikatakan menghimpunkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, pembangkang, dan pemimpin parti dari negeri Selangor.

Kumpulan tersebut didakwa digunakan untuk menyebarkan pelbagai tuduhan termasuk kekayaan mendadak dan pelantikan jawatan berkaitan kerajaan negeri terhadap pemimpin tertentu.

PMBS turut menyeru semua pihak supaya menjaga adab komunikasi dalam media sosial dan menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri Selangor serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.














#Pejabat Menteri Besar Selangor #fitnah #PMBS #WhatsApp #Amirudin Shari