POLITIK

Fuziah dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PKR

Bernama 21/06/2025 | 13:19 MYT
Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan hari ini memutuskan untuk melantik semula Datuk Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung PKR. - Gambar fail/PKR
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan hari ini memutuskan untuk melantik semula Datuk Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung PKR.
Mesyuarat itu turut memutuskan beberapa pelantikan semula iaitu William Leong sebagai Bendahari Agung manakala Ahli MPP Datuk Fahmi Fadzil sebagai Ketua Penerangan.
Fahmi dalam kenyataan susulan mesyuarat itu berkata Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Bersama dan Ahli Biro Politik.
Beliau berkata Datuk Mustapha Sakmud juga kekal menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.
"Mesyuarat turut merakam setinggi-tinggi perhargaan atas pengorbanan, sumbangan serta khidmat bakti bekas Timbalan Presiden dan pimpinan lainnya serta berharap agar mereka akan masih memberi sumbangan kepada parti dan perjuangan," katanya.
Fahmi berkata mesyuarat turut membincangkan isu-isu semasa termasuk perihal geopolitik dan ekonomi global serta tahap persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
-- BERNAMA
#Fuziah Salleh #dilantik semula #Setiausaha Agung PKR #MPP PKR