Skip to main content

Politik

Fuziah nafi dakwaan Mukhriz PKR rancang pembatalan pendaftaran PN

Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berkata dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir kononnya keputusan itu adalah atas syor PKR adalah satu fitnah. - Gambar fail/BERNAMA
Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berkata dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir kononnya keputusan itu adalah atas syor PKR adalah satu fitnah. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • PKR menafikan sebarang kaitan dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN).
  • Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, menyifatkan dakwaan Mukhriz Mahathir yang mengaitkan PKR dengan keputusan itu sebagai fitnah dan menuntut permohonan maaf.
  • RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan dokumen yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berkata dakwaan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir kononnya keputusan itu adalah atas syor PKR adalah satu fitnah.

Beliau juga menafikan perkongsian Mukhriz di laman sosialnya mengenai beberapa slaid berkaitan perancangan parti berkenaan untuk membatalkan pendaftaran PN, yang didakwa dibentangkan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka pada Ogos lepas.

“Saya menganggap tindakan menggunakan slaid yang tidak pernah dibentangkan itu untuk mengaitkan PKR dengan keputusan RoS terhadap PN sebagai satu fitnah terhadap PKR.

“Justeru, saya menuntut Mukhriz menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf kepada PKR atas penyebaran bahan fitnah yang cuba mengaitkan parti ini dengan keputusan RoS terhadap PN hari ini. Perbezaan politik bukan lesen untuk menyebarkan fitnah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata apa yang lebih penting ialah fakta bahawa aduan yang membawa kepada tindakan RoS terhadap PN adalah isu melibatkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri, dan PKR sama sekali tidak terlibat. 

Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pendaftaran PN dibatalkan selepas mendapati penjelasan dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan PN pada 12 Okt selain memaklumkan alasan yang diberikan juga tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement