Gerakan Bersatu Sabah: Kalau KDM nafi, itu terpulang kepada mereka - Jeffrey

Jeffrey menegaskan,meskipun belum ada rundingan rasmi, pertemuan bersama KDM menyentuh keperluan penyatuan parti-parti tempatan demi masa depan Sabah - Foto Astro AWANI/Nasruddin Samad
KOTA BELUD: Datuk Seri Jeffrey Kitingan menegaskan telah bertemu dengan pimpinan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk berbincang mengenai keperluan mewujudkan satu gabungan politik tempatan yang kukuh melalui Gerakan Bersatu Sabah (GBS).
Menurut Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, meskipun belum ada rundingan rasmi, pertemuan itu menyentuh keperluan penyatuan parti-parti tempatan demi masa depan Sabah.
“Kami belum berunding, tetapi kami sudah berjumpa dan kami bercerita tentang isu ini.
“Kalau mereka (KDM) menafikan, itu terpulang kepada mereka. Tetapi kami bercerita tentang keperluannya (GBS). Kita bersatu demi Sabah dan juga demi kemenangan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas Program Ramah Mesra STAR bersama Presiden, di sini pada Rabu.Semalam, Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda menafikan pernah berunding dengan mana-mana pihak berhubung pembentukan gabungan politik baharu di Sabah, termasuk bersama Jeffrey.
Katanya, laporan yang mendakwa Jeffrey telah berjumpa dengan beliau mengenai kemungkinan parti itu menyertai GBS adalah tidak benar, malah tidak pernah dibincangkan.
Mengulas lanjut Jeffrey berkata, penyatuan itu penting bagi membina kekuatan bersama menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), namun mengakui ego politik sering menjadi halangan.
“Inilah masalah di Sabah selama ini kerana masing-masing ingin menjadi hero.
“Jadi kali ini kita perlu bersatu, tetapkan apa saja perbezaan kita kerana kita ingin berubah dan kita ingin menang bersama. Dan, kalau itulah tujuan mereka (parti lokal) juga, kita perlu bersatu,” tegasnya.
Ditanya sejauh mana GBS boleh menyatukan parti-parti lokal, Jeffrey meletakkan keyakinan ia terbentuk sebelum atau selepas PRN17.
Jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi, gelombang perubahan kini didakwa dirasai di seluruh negeri.
Ia sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rakyat Sabah mahukan sebuah kerajaan baharu yang dibentuk oleh gabungan parti-parti tempatan, ujar beliau.
“…. Dan ia akan memuncak apabila hari mengundi nanti. Mungkin selepas penamaan calon, ia akan memuncak.
“Saya yakin perubahan ini akan berlaku kerana rakyat Sabah sudah faham apa yang perlu dibuat,” tambah Jeffrey.
GBS dilaporkan sedang dibentuk oleh STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP), selepas kedua-dua parti itu mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami