Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
POLITIK

GRS fokus capai keberhasilan MA63, bukan modal politik - Norazlinah

Astro Awani 16/08/2025 | 00:40 MYT
Gambar fail pada 20 Jan 2023 menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di DUN Sarawak di Petra Jaya, Kuching. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjadikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai modal politik, sebaliknya berjaya mencapai hasil nyata dalam memperjuangkan hak negeri itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif.

Beliau berkata pendekatan GRS berbeza dengan Parti Warisan yang didakwanya lebih menjadikan isu MA63 sebagai retorik politik semasa mentadbir negeri dari 2018 hingga 2020.

“Contohnya, pentadbiran Warisan mendakwa telah menyelesaikan 17 daripada 21 perkara di bawah MA63, namun seperti dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) ketika itu, Datuk Armizan Mohd Ali, pada Julai 2023, perkara itu hanya berada pada peringkat dipersetujui,” katanya sebagai memetik laporan FMT.

Norazlinah berkata GRS berjaya membawa perkembangan positif termasuk peningkatan bayaran interim hasil petroleum kepada Sabah daripada RM26 juta kepada RM125 juta, RM300 juta dan kini RM600 juta.

“Saya yakin jika GRS terus diberi mandat, lebih banyak hak akan dikembalikan kepada Sabah seperti kawal selia bekalan gas dan elektrik yang kini diurus kerajaan negeri,” katanya yang juga bekas Ketua Wanita Warisan.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 hasil rundingan bersama kerajaan Sabah dan Sarawak.

Antara pencapaian tersebut termasuk:

Sementara itu, ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin turut mempersoalkan komitmen Warisan terhadap pelaksanaan MA63, mendakwa isu tersebut jarang dibincangkan semasa beliau bersama parti berkenaan.

“Tidak banyak perbincangan mengenai usaha memperjuangkan tuntutan MA63 dibuat pimpinan Warisan dalam pertemuan dengan wakil rakyat menjelang sidang DUN Sabah.

“Tetapi di bawah GRS, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa menyentuh perkara berkaitan MA63 menjelang sidang DUN, termasuk usaha meminda atau memperkenalkan enakmen berkaitan dan bagaimana mendapatkan semula hak Sabah,” katanya.



#Perjanjian Malaysia 1963 #Warisan #Datuk Norazlinah Arif #PRN Sabah