[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
POLITIK

GRS miliki kelebihan pada PRN Sabah - Ilham Centre

Sinar Harian 12/09/2025 | 08:30 MYT
Ilham Centre jangka GRS memiliki kelebihan menjelang PRN Sabah kerana kedudukan sebagai kerajaan negeri dan faktor personaliti calon. Gambar kecil: Hisomudin - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki kelebihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai penyandang kerajaan negeri, menurut firma kaji selidik Ilham Centre.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, kajian awal pra-pilihan raya sepanjang Jun lalu turut mendapati GRS berada di hadapan berbanding parti-parti lain.

Beliau berkata, dua faktor utama mengukuhkan kedudukan GRS iaitu penguasaan sebagai parti pemerintah yang mempunyai akses sumber serta faktor personaliti calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Di Sabah, politiknya agak unik. Walaupun ada isu rentas negeri seperti rasuah atau infrastruktur, pengundi lebih menilai calon di kawasan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa yang sama, katanya, faktor personaliti dan prestasi penyandang menjadi dominan dalam membentuk sokongan pada PRN tersebut.

Beliau berkata, Ilham Centre turut mendapati sokongan terhadap parti lain lebih terarah mengikut kawasan contohnya Parti Warisan (Warisan) mempunyai pengaruh di kawasan pantai timur seperti Tawau dan Kalabakan, tetapi sukar menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut (KDMR).

“Bagi Pakatan Harapan pula, kekal dengan sokongan di kawasan bandar utama termasuk Sandakan dan Kota Kinabalu. Bagi PBS dan STAR dilihat lebih kukuh di kawasan KDMR.

“Begitu juga, parti KDM yang diasaskan Datuk Peter Anthony pula mula mendapat perhatian, khususnya dengan gerakan pemimpin di kawasan bandar seperti ADUN Datuk Wetrom Bahanda,” katanya.

Hisomudin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula dilihat agak bergelut selepas berdepan isu lompat parti dan kesukaran menarik sokongan pengundi muda.

"Kajian juga menekankan bahawa segmen pengundi muda merangkumi mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun merupakan faktor penentu.

"Jadi bagi saya, UMNO berhadapan dengan tugas berat untuk menembusi ataupun meyakinkan segmen pengundi muda," katanya.

Beliau berkata, di beberapa kawasan DUN, kelompok pengundi muda ini mencecah sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Segmen muda adalah kelompok atas pagar yang tinggi. Kegagalan mengurus atau meyakinkan mereka boleh membawa risiko besar kepada mana-mana parti atau calon untuk melepasi garis kemenangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, ketika kajian dibuat, isu Zara Qairina Mahathir belum lagi panas atau baru saja bermula.

"Jadi kajian dilakukan ketika itu tanpa mengambil kira isu yang berlaku melibatkan kes Zara," katanya.

Justeru, katanya, calon dan prestasi penyandang, kekal menjadi penentu utama sokongan pengundi menjelang PRN Sabah akan datang.

"Mengikut rumusan yang dibuat, GRS masih mendahului parti-parti lain kerana kelebihan sebagai penyandang, akses sumber dan juga jentera kerajaan," katanya. - Sinar Harian




#Barisan Nasional #Pakatan Harapan #rentas negeri #UMNO