POLITIK

GRS tegas sokong Kerajaan MADANI - Hajiji

Bernama 27/07/2025 | 15:52 MYT
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Sabah (SICC) hari ini.
- Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan pelbagai tuntutan negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah diluluskan dan direalisasikan.

Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sokongan itu adalah wajar kerana Kerajaan MADANI memberi komitmen terhadap kepentingan Sabah dan rakyatnya.

"Saya ingin menyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong Perdana Menteri. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam MA63 telah diluluskan oleh Perdana Menteri.

"Sebelum ini amat sukar untuk menurunkan kuasa atau meluluskan permintaan kita. Kalau Kerajaan MADANI ini baik untuk negeri kita, mengapa kita tidak sokong?" katanya.

Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan seterusnya menangguhkan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di sini, malam ini.

Beliau berkata keputusan GRS untuk beralih sokongan kepada Kerajaan MADANI turut dipengaruhi oleh pendirian kerajaan terdahulu yang didakwa tidak menggemari istilah 'Blok Borneo'.

"Saya terkejut dengan kenyataan itu... lama saya berfikir dan akhirnya tawar hati. Selepas meneliti pelbagai aspek, saya putuskan untuk menyokong Kerajaan MADANI," katanya.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan beliau akan menyertai Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 di Jakarta bermula esok, yang antara lain akan membincangkan isu berkaitan Laut Sulawesi.

-- BERNAMA


#Gabungan Rakyat Sabah #GRS sokong Kerajaan MADANI #Hajiji Noor #Perdana Menteri Anwar Ibrahim