ALOR SETAR: Gerakan Tanah Air (GTA) menawarkan konsep politik baharu dengan melibatkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengurus tadbir negara sekiranya diberi peluang sebagai pemerintah.

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kepakaran yang dimiliki NGO menjadi taruhan gagasan itu untuk memenangi hati rakyat agar suara akar umbi dapat diangkat terus dalam Parlimen.

Menurutnya, penglibatan NGO dalam GTA bersifat menyeluruh dengan memberi peluang menyertai pilihan raya agar dapat bersama mentadbir negara.

"Banyak rungutan daripada NGO menyatakan suara mereka tidak diberi perhatian oleh kerajaan, menteri dan timbalan menteri yang ditemui seolah-olah tidak memahami isu yang diperjuangkan rakyat.

"Ada keadaan NGO pula terpaksa ‘mengajar’ menteri mengenai latar belakang sesuatu isu kerana mereka tidak menjiwai keadaan rakyat. Ada pula yang melantik lembaga penasihat kalangan orang berkepentingan yang tidak ada kepakaran dan ini memburukkan lagi keadaan," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Mukhriz berkata, ini menyebabkan isu rakyat tidak dapat diselesaikan biarpun NGO berkaitan sudah menyuarakan cadangan kepada kerajaan.

"Sudah tiba masanya NGO berada dalam kerajaan, sebab itu saya cadangkan agar mereka tidak berada di luar kerajaan kerana mereka ada kepakaran dalam pelbagai bidang untuk selesaikan masalah.

“Untuk mereka sertai kerajaan, kenalah bertanding dalam pilihan raya. Itu antara sebab GTA membawa masuk NGO dalam perjuangan kami untuk membawa perubahan kepada negara,” katanya.

Tambah Mukhriz, GTA merupakan satu gabungan hibrid yang menggabungkan sebahagian parti politik dengan NGO.

"Ketika ini terdapat ratusan NGO menyatakan komitmen kepada GTA, terbaru adalah Gagasan Bangsa yang menghimpunkan pelbagai NGO.

“Biasanya perlembagaan NGO itu sendiri tak benarkan mereka terlibat dalam politik jadi mereka bernaung bawah Gagasan Bangsa yang secara rasmi menyertai GTA.

“Ramai tokoh bukan calang-calang dalam NGO tersebut, antaranya ahli akademik, veteran tentera, ahli korporat serta aktivis rakyat,” katanya.

Mukhriz juga tidak bimbang sekiranya NGO terlibat tidak memahami selok belok politik, susulan parti yang bernaung bawah GTA akan bertindak sebagai rujukan.

"Soal politik biar parti yang ada pengalaman berkongsi kekuatan membantu NGO-NGO ini untuk terlibat sama.

"Yang kami mahukan daripada NGO ialah kepakaran mereka dalam pelbagai bidang. Namun ada golongan profesional ini menawarkan diri untuk menganggotai jentera pilihan raya, itulah cara terbaik sebab zaman di mana satu parti perlu ada tiga juta ahli sudah berlalu, yang penting ialah undi terbanyak," katanya.

Mengulas terdapat beberapa personaliti terkenal menjadi taruhan GTA dalam PRU15, antaranya bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Mukhriz berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

"Ini antara matlamat GTA untuk menawarkan tempat bukan hanya kepada orang politik untuk menjadi wakil rakyat.

“Rakyat dambakan keadaan di mana orang yang tak pernah terpalit politik dapat mewakili mereka. Apabila nampak nama besar seperti itu, mungkin mereka akan diterima baik rakyat," katanya.

Menurutnya, sekiranya golongan berkenaan diberikan peluang, kepakaran yang ada pada individu terbabit dapat digunakan untuk menambah baik pentadbiran negara selain membantu rakyat secara menyeluruh.

"Mereka akan bersuara mengenai isu yang dekat di hati rakyat dan diri mereka, sebab itulah kita bawa pelbagai NGO seperti alam sekitar, kepenggunaan untuk bersama GTA,” katanya. -Sinar Harian