PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) menafikan tuduhan bahawa penubuhan gagasan politik itu bakal memecahbelahkan orang Melayu.

Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun gerakan itu mengakui tidak boleh menyatukan semua orang Melayu, khususnya mereka yang terpalit dengan kes jenayah.

Bekas Perdana Menteri itu yakin GTA yang terdiri daripada empat parti tonggak itu mampu membawa perjuangan Melayu dan bangsa.

Empat parti tonggak GTA iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

“Tuduhan kita memecah-belahkan orang Melayu adalah tidak benar.

“Kita akui kita tak boleh satukan orang Melayu yang ada tuduhan jenayah… curi duit. Itu tak ada (dalam GTA).

“GTA hanya dianggotai oleh mereka yang tak terlibat dengan jenayah, mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu, negara dan untuk agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pejuang itu berkata melalui penubuhan GTA, pertembungan sesama calon Melayu pada pilihan raya akan datang dapat dielak.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, GTA akan menyokong mana-mana calon daripada empat parti tersebut yang dicalonkan dalam pilihan raya kelak.

“Jadi sekarang ini kita berjaya mencantumkan parti-parti poltik Melayu yang biasanya berlawan sesama sendiri dan kali ini kita tidak berlawan sesama kita,” ujar Dr Mahathir.

Dalam pada itu, GTA kata Dr Mahathir berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan UMNO walaupun individu yang terpalit dengan kes jenayah di dalam parti itu sudah dibersihkan.

Tegas beliau, ini kerana parti itu secara keseluruhan telah dirosakkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Malang UMNO rosak sampai kepada akar umbi... semua ketua bahagian masuk UMNO kerana nak kontrak dan jadi wakil rakyat, dan mereka dapat peruntukan wang yang cukup banyak.

"Bukan sahaja ketua bahagian, ketua cawangan pun dapat, ahli biasa pun dapat. Jadi, Najib berjaya merosakkan UMNO keseluruhan daripada (kepimpinan) atas kepada akar umbi, semuanya kotor belaka.

"Bila kita ada pilihan raya (negeri) di Johor, orang Pejuang telefon lah kawan-kawan, sila turun undi Pejuang. Apa jawapannya? Nak bagi berapa? Jadi, Najib sudah berjaya merosakkan moral orang Melayu sehingga mereka nak bagi undi pun nak jual, nak dapat RM200," kata Dr Mahathir.

Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.