KUALA LUMPUR: Satu Rang Undang-undang (RUU) berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) perlu digubal bagi memberi pencerahan mengenai perkara itu.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memberitahu, pada ketika ini, tafsiran tersebut dilihat hanya disasarkan kepada pemimpin politik semata-mata.

"Kita sebenarnya, tidak jelas apa kesalahan yang dikaitkan atau dimaksudkan dengan 3R ini, apa saja mengenai agama, raja, bangsa atau apa sebenarnya... tahap mana?

"Kalau nak buat undang-undang, saya setuju dengan (Ahli Parlimen) Kuala Selangor (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad). Buat undang-undang, biar telitikan perkara yang tidak boleh disebut dan sebagainya," katanya ketika menyampaikan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa terdapat 104 kes disiasat polis berkait isu 3R.

Antaranya, kes melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyebut Pakatan Harapan (PH)  menaja kumpulan Yahudi dan sebabkan kristianisasi di Malaysia dalam satu ceramah di Muar, Johor, baru-baru ini.

Muhyiddin sebelum ini disiasat sebanyak lima kali berkaitan isu 3R.

Turut disiasat adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa PH menolak Islam dan menyokong komunis.