KUALA LUMPUR: ‘Habis madu, sepah dibuang’.
Adakah hantaran ringkas yang dimuat naik Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Facebooknya sekadar peribahasa atau mempunyai maksud tersirat terhadap bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang mengumumkan keputusan meninggalkan DAP hari ini?
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana pihak, hantaran berkenaan menarik perhatian netizen yang rata-rata mengaitkannya dengan keputusan Kian Ming meninggalkan DAP.
Malah, ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi, antaranya menyifatkan tindakan itu sebagai ‘kacang lupakan kulit’, selain komen ‘anak sungai pun berubah, ini pula hati orang’, ‘mengapa dikenang’ dan ‘satu pergi, seribu mari’.
Kian Ming menyertai DAP pada 2012 dan dua kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Bangi, yang ketika itu dikenali sebagai Serdang.
Beliau turut pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain memikul pelbagai tanggungjawab dalam DAP, khususnya berkaitan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya.
Kian Ming yang mengumumkan keluar daripada DAP pada Isnin memaklumkan, walaupun tidak lagi berperanan sebagai ahli politik, beliau akan terus berkhidmat demi kepentingan negara melalui pelbagai platform serta bekerjasama dengan individu yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya beliau diberikan kerusi untuk bertanding.