KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di hadapan Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya di Dewan Mesyuarat Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Majlis angkat sumpah ADUN Sulaman itu berlangsung pada pukul 11.20 pagi tadi.

Turut mengangkat sumpah ialah dua orang ADUN dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Datuk Amisah Yassin selain ADUN Sulabayan ,Datuk Jaujan Sambakong.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha DUN Sabah, Encik Shafaruddin Halide.

Hajiji mengangkat sumpah hari ini selepas tidak dapat hadir dalam majlis sama yang diadakan pada 9 Okt lalu kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu setelah terdedah kepada individu didapati positif COVID-19.

Bagaimanapun, ADUN Bugaya Manis Buka Mohd Darah tidak dapat hadir kerana masih menjalani tempoh kuarantin di hospital.

Sebelum ini, seramai 70 ADUN dan empat ADUN Dilantik mengangkat sumpah.

DUN Sabah mempunyai 73 ADUN yang dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept lepas, bersama enam ADUN Dilantik.