Rakyat mempunyai hak untuk melontarkan apa sahaja persoalan yang perlu dijawab, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini adalah kerana UMNO berjuang bukan hanya untuk ahlinya tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh demikian, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, pucuk pimpinan perlu melakukan tindakan yang bijaksana bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi UMNO.

"Kepimpinan UMNO bukan sahaja perlu mendengar isu pokok yang datang dari akar umbi tetapi suara rakyat. Perjuangan parti kita ini bukan perjuangan ahli UMNO sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Semporna di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, persidangan perwakilan UMNO merupakan platform penting bagi ahli parti menyuarakan pandangan masing-masing demi memperkukuhkan parti keramat itu.

Beliau turut memuji kepimpinan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan merupakan antara pengasas UMNO di negeri Sabah.

"Beliau (Mohd Shafie) telah menyampaikan suara yang hendak didengar, bukan sahaja oleh saya tetapi pucuk pimpinan. Dengan cara ini, segala tindakan yang bijaksana boleh diambil untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kita supaya perjuangan ini dikatakan perjuangan yang suci... ada kesan dan membawa manfaat kepada rakyat negara kita, bukan perjuangan yang sia-sia," tambahnya.

Di dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai lalu, Muhyiddin dan Mohd Shafie antara lima menteri yang digugurkan jawatan, selain Datuk Seri G. Palanivel, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Ewon Ebin.