Skip to main content

Politik

Hampir 3,000 perwakilan bakal sertai Konvensyen GRS di Kudat Ahad ini - Armizan

Armizan, berkata antara pengisian konvensyen termasuklah penyampaian ucaptama oleh , di samping perkongsian bersama dengan enam Timbalan Pengerusi yang mewakili kepimpinan utama setiap parti komponen gabungan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
Armizan, berkata antara pengisian konvensyen termasuklah penyampaian ucaptama oleh , di samping perkongsian bersama dengan enam Timbalan Pengerusi yang mewakili kepimpinan utama setiap parti komponen gabungan berkenaan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 peserta dan pemerhati mewakili 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan dijadualkan menghadiri Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Ahad ini.

Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemilihan Kudat sebagai lokasi penganjuran buat julung-julung kali konvensyen itu selaras dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti untuk tidak memusatkannya di ibu negeri semata-mata, sebaliknya digilirkan ke daerah luar mengikut kesesuaian logistik.

"Konvensyen ini ialah wadah menghimpunkan kepimpinan pusat dan pimpinan utama bahagian dalam satu platform dengan objektif utama perbincangan meliputi pendekatan serampang dua mata," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu menumpukan penetapan fokus serta strategi politik bagi memperkasakan kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16, selain menilai kemajuan pembangunan rakyat dan negeri menerusi pemerkasaan Manifesto GRS serta agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata antara pengisian konvensyen termasuklah penyampaian ucaptama oleh Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, di samping perkongsian bersama dengan enam Timbalan Pengerusi yang mewakili kepimpinan utama setiap parti komponen gabungan berkenaan.

Bagi memastikan penglibatan menyeluruh, Sekretariat Ibu Pejabat GRS turut menyediakan saluran secara dalam talian bagi membolehkan kepimpinan akar umbi yang tidak dapat hadir secara fizikal menyalurkan pandangan serta maklum balas masing-masing.

GRS terdiri daripada enam parti komponen, iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement