PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menyifatkan tohmahan seorang bekas menteri bahawa suruhanjaya itu mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan serta mencemarkan imejnya adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, SPRM menegaskan setiap siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu adalah berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih.

"Hanya kertas siasatan yang lengkap dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

SPRM menjelaskan setiap tindakan sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan, dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional.

"Pertuduhan-pertuduhan itu tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya," ujarnya.

BACA: Hamzah hairan nama dikaitkan kes rasuah projek di bawah KDN

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan mendakwa  pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, yang turut mengheret namanya jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan sama, bekas Menteri Dalam Negeri itu turut mengesahkan beliau dipanggil SPRM pada Rabu untuk memberi keterangan membabitkan kes berkenaan.

Katanya, keterangan itu dibuat bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga 7 malam oleh pegawai SPRM.

Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta dua tahun lalu.

Mengikut empat pertuduhan rasuah, lelaki berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun  dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PN, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.