POLITIK

Hamzah ingatkan pemimpin, ahli Bersatu henti budaya surat layang, cucuk-mencucuk

Faida Rahim 06/09/2025 | 04:10 MYT
Hamzah menegaskan pimpinan dan ahli sebaliknya perlu fokus kepada matlamat utama yang mahu dicapai serta cabaran dihadapi parti ketika ini. - Gambar/ Astro AWANI
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan anggota termasuk pemimpin parti itu supaya menghentikan budaya surat layang dan cucuk-mencucuk yang boleh merosakkan parti.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa ahli dan pemimpin Bersatu menghentikan budaya surat layang dan cucuk-mencucuk yang boleh merosakkan parti, serta menekankan pentingnya perpaduan dalam menghadapi cabaran politik semasa.
  • Terdapat dakwaan dalam surat layang yang menuduh Hamzah sebagai dalang penubuhan Majlis Eksekutif PN untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun Muhyiddin menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai muslihat memecah-belahkan parti.
  • Hamzah turut menegaskan bahawa PRU akan datang membawa misi besar untuk menentukan hala tuju rakyat dan negara, bukan sekadar perjuangan untuk Bersatu atau PN.


Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan sayap Bersatu di Shah Alam, Hamzah menegaskan pimpinan dan ahli sebaliknya perlu fokus kepada matlamat utama yang mahu dicapai serta cabaran dihadapi parti ketika ini.

“Kepada semua, apa pun cabaran dihadapan, kita hadapi besama. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jangan dibawa budaya yang tidak baik. Jangan dibawa budaya (negatif) ke dalam parti ini, budaya yang boleh merosakkan.

“Tidak ada budaya surat layang, tidak ada budaya cucuk-mencucuk, ini adalah keluarga besar,” katanya,

Namun begitu, beliau tidak memperincikan lebih lanjut maksud amalan budaya surat layang, cucuk mencucuk tersebut.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar surat layang yang berlegar di media sosial mendakwa Hamzah yang juga Ketua Pembangkang bertindak sebagai ‘broker’ yang menggerakkan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN) sebagai usaha menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Presiden Bersatu.

Muhyiddin bagaimanapun mempersoalkan asas tuduhan yang dilemparkan itu, sambil menyifatkan ia satu muslihat untuk memecah-belahkan parti.

Pengerusi PN itu juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan perbuatan tidak beretika yang boleh menjejaskan maruah individu serta merosakkan parti.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bukan hanya semata untuk Bersatu atau PN, tetapi mengandungi misi besar untuk menentukan kelangsungan dan hala tuju rakyat serta negara.



#Hamzah Zainuddin #Perikatan Nasional #pembangkang #PN #PRU 16