KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yakin mampu menjadi jambatan kepada penyatuan dua gabungan besar politik bagi memastikan kestabilan dan kemajuan negara.
Menurutnya, landskap politik Malaysia ketika ini memerlukan seseorang yang boleh merapatkan jurang antara pelbagai kumpulan politik bagi membentuk pasukan yang lebih besar dan stabil.
Advertisement
Tanpa menamakan gabungan parti tersebut, ia dipercayai merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
"Kita perlu ada faktor penyatuan untuk mengukuhkan mana-mana kumpulan, tidak kira kumpulan mana yang datang dalam arena politik ini. Apa yang terbaik adalah mempunyai seseorang yang boleh merapatkan semua 'kapal' yang ada.
"Bagi melakukan perkara itu, sudah tentu boleh diletakkan kepada seseorang yang boleh dijadikan faktor penyatuan. Saya percaya boleh melakukannya.
"Media biasanya memanggil saya sebagai 'operator'. Adakah salah bagi saya melaksanakan satu lagi pusingan tindakan hanya bagi memastikan semua orang akan datang bersama-sama? Tidak ada salahnya," katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di sini pada Selasa.
Tambah Hamzah, ada pihak yang meletakkannya sebagai peneraju di hadapan atas faktor beliau sebagai Ketua Pembangkang.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi tidak meletakkan dirinya sedemikian.
"Saya meletakkan diri saya ini sebagai pejuang untuk semua dan saya boleh bercakap dengan semua pihak," jelasnya.
Ditanya sama ada beliau mempunyai impian untuk menjadi Perdana Menteri susulan peranannya yang mahu menjadi penghubung, Hamzah bersifat terbuka mengenai perkara itu.
"Saya pernah bercakap dengan kawan-kawan saya, (Vladimir) Putin juga pernah menjadi 'operator', tetapi hari ini beliau ialah Presiden Rusia.
"Perjalanan untuk mencapai sesuatu itu ALLAH yang tentukan. Jadi, supaya saya tidak menyesal, saya lakukan itu untuk rakyat.
"Jika rakyat menerimanya, Alhamdulillah, tetapi jika tidak, saya tidak menyesal kerana saya sudah mencuba," katanya. - Sinar Harian