SANDAKAN: Sabah memerlukan budaya politik baharu yang mengutamakan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum, daerah atau kelompok bagi membolehkan negeri itu bergerak lebih jauh dalam agenda pembangunan, kata Timbalan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Darell Leiking.
Beliau berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah mengetepikan perbezaan yang selama ini mencorakkan landskap politik negeri dan membina semangat kebersamaan berasaskan identiti serta kepentingan bersama sebagai rakyat Sabah.
Menurut Darell, perjuangan memajukan Sabah tidak seharusnya terbatas kepada kepentingan kaum atau kawasan tertentu, sebaliknya perlu berteraskan matlamat bersama untuk membawa negeri itu ke hadapan.
“Persamaan kita ialah Sabah dan kita semua bercakap mengenai perjuangan untuk Sabah tetapi apabila diteliti, kebanyakan parti politik di negeri ini masih berpuak-puak dan mewakili kelompok masing-masing.
“Kita tidak boleh menentukan seseorang itu milik kumpulan ini atau kumpulan itu kerana itulah antara masalah Sabah sehingga hari ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan dan Pemilihan Wanita, Wira dan Wirawati Parti Warisan 2026 di sini hari ini.
Dalam hal ini, beliau berpandangan Sabah boleh mengambil iktibar daripada Sarawak yang menurutnya berjaya menjadikan perpaduan identiti dan kepentingan negeri sebagai asas dalam memacu kemajuan.
Beliau berkata Sarawak yang turut mempunyai masyarakat berbilang kaum, menunjukkan kemajuan dalam pengurusan dan pembangunan negeri, termasuk mengambil alih syarikat penerbangan serta merealisasikan jualan semikonduktor ke China.
“Kita di Sabah masih (berdepan) masalah air, elektrik, jalan berlubang dan sebagainya kerana kita membiarkan diri kita dibahagi-bahagikan oleh pemimpin politik,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Darell menegaskan keperluan untuk beralih daripada budaya politik berasaskan kaum dan kawasan kepada pendekatan yang membina kepercayaan serta memperkukuh kebersamaan seluruh rakyat Sabah.
-- BERNAMA