POLITIK

Harap hubungan Bersatu-Pas kekal hingga tamat penggal - MB Perlis

Abd Hadi Che Awang 28/12/2025 | 11:05 MYT
Abu Bakar (kanan) bersalaman dengan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis hari ini. - Foto Bernama
KANGAR: Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berharap agar hubungan yang terjalin antara Bersatu dan Pas menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) dapat dikekalkan sehingga tamat penggal pentadbiran kali ini.


Ringkasan AI
  • Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengharapkan kelestarian hubungan antara Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga tamat penggal pentadbiran kali ini.
  • Abu Bakar menyeru agar semua pihak menghormati titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, demi penyatuan semula hubungan antara kedua-dua parti itu bagi kepentingan rakyat dan negeri.
  • Beliau yakin perbalahan politik antara Pas dan Bersatu adalah lumrah, namun yakin kepimpinan kedua-dua parti mampu menyelesaikannya demi kestabilan kerjasama dalam gabungan PN.


Beliau turut menyeru agar semua pihak menghormati titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail supaya hubungan membabitkan kedua-dua parti itu dapat disatukan semula demi kepetingan rakyat dan negeri.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu turut menyifatkan isu perbalahan antara Pas dan Bersatu sebagai kecil selain lumrah dalam politik.

Sehubungan itu, Abu Bakar yakin kepimpinan tertinggi kedua-dua parti mampu menyelesaikannya dengan baik agar kerjasama di dalam gabungan PN kekal utuh.

"Dari segi politik saya yakin dan percaya, kita akan kekal bersama-sama dalam pasukan Perikatan Nasional dan insya-Allah saya dengan kepimpinan di peringkat akar umbi antara Bersatu dengan Pas adalah sebuah keluarga dalam apa jua perbalahan dan pertelingkahan yang berlaku akan diselesaikan dalam masa yang terdekat.

"Insya-Allah kita amat berharap bahawa hubungan Perikatan Nasional akan terus kekal hingga habis penggal, kita akan memastikan bahawa pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional dapat dikekalkan di negeri Perlis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada Ahad.

[TERKINI] Sidang media MB Perlis yang baharu


Dalam perkembangan sama, Abu Bakar menyatakan bahawa akan meneruskan kesinambungan hubungan antara kerajaan negeri Perlis dan Persekutuan seperti pentadbiran kerajaan sebelum ini yang dipimpin Mohd Shukri Ramli.









#konflik politik Perlis #Menteri Besar Perlis #Abu Bakar Hamzah #hubungan Bersatu Pas #Perikatan Nasional #terkini