BANTING: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Harumaini Omar boleh mencabar keputusan pelucutan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu di mahkamah, kata Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hasnul Baharuddin.

Hasnul berkata keputusan yang dibuat Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim pada Khamis lepas berhubung perkara itu telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri.

ADUN Morib itu berkata Harumaini ada menghubunginya dan mengaku gagal memberikan surat kepada Dewan atau Speaker untuk menjelaskan permasalahannya yang tidak dapat hadir pada sidang-sidang Dewan seperti isu kesihatan isteri serta kesibukan menguruskan keluarga.

"Jadi, pada pendapat saya, beliau sendiri tidak berkata apa-apa pada Speaker dan mengaku sendiri kesilapannya ketika berhubung dengannya untuk memberikan penjelasan tersebut (selepas Ng membuat keputusan)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jerayawara sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan di Pantai Morib, di sini hari ini.

Hasnul juga menegaskan seorang wakil rakyat dalam DUN Selangor mesti hadir mesyuarat atau sidang dalam tempoh enam bulan, walaupun cuma sehari dalam satu-satu sesi mesyuarat.

BACA: 'Saya selesema, batuk...' - Harumaini perjelas sebab tidak hadir sidang DUN

"Dalam enakmen dan peraturan kita jelas, mesti hadir dalam tempoh enam bulan. Dalam tempoh enam bulan mesti ada sidang, walaupun beliau (Harumaini) hadir sidang sebelumnya sehari, tetapi dari cut-off (27 Julai) hingga habis enam bulan (beliau) tiada.

"Ramai juga ADUN datang setengah jam, lepas itu balik, sudah tandatangan (kehadiran) (kemudian) balik, maksudnya kita tidak boleh ambil tindakan. Namun dari segi moralnya tidak betul ADUN bersikap begitu, hanya 'melepaskan batuk di tangga', datang untuk pastikan hadir, kemudian balik," katanya.

Hasnul berkata Harumaini juga gagal menghadirkan diri ketika pembentangan Bajet Selangor 2023 yang dibentangkan pada tahun lepas.

Pada 16 Feb lepas, kerusi DUN Batang Kali diisytiharkan kosong berkuat kuasa 28 Jan, ekoran penyandangnya Harumaini daripada Pejuang tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan.

Pengisytiharan itu dilakukan mengikut peruntukan di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

-- BERNAMA