POLITIK

Henti tukar ganti kerajaan demi kemajuan Sabah - Masidi

Assim Hassan 26/07/2025 | 05:00 MYT
Masidi ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat 2025 di Kota Kinabalu hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Kekerapan pertukaran kerajaan negeri di Sabah menyumbang kepada ketidakstabilan politik, sekali gus membantutkan usaha memajukan negeri ini, kata Datuk Seri Masidi Manjun.

Mengakui perkara itu, Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata, tiba masanya untuk rakyat Sabah mencontohi pemikiran dan sikap masyarakat Sarawak supaya dapat sama-sama maju seperti mereka.

"Kita sering membandingkan Sabah dengan Sarawak, tetapi kalau kita mahu menjadi seperti Sarawak, kita mesti ada pemikiran dan sikap seperti mereka, iaitu utamakan kestabilan politik.

"Ini penting untuk kita meneruskan kesinambungan pembangunan rakyat dan negeri. Masalah di Sabah ialah, kerajaan kita sering berganti," katanya.

Tambah Masidi, situasi kerajaan silih berganti itu menyebabkan semua pihak tidak menggunakan masa untuk menumpukan perhatian kepada penyelesaian isu asas dan meneruskan pembangunan.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, Sarawak hanya mempunyai enam Premier (ketua menteri) sebaliknya di Sabah kini ada 16 ketua menteri.

"Ini cerminan ketidakstabilan kedudukan politik, dan kerajaan sering bertukar ganti. Jadi, apabila kerajaan sering bertukar ganti, kita tidak ada masa untuk menyelesaikan masalah asas di Sabah," katanya.





#Masidi Manjun #pembangunan #tukar kerajaan negeri #Persidangan Wanita Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat 2025 #Sabah dan Sarawak