Skip to main content

Politik

Hentikan aktiviti kempen selepas 11.59 malam ini - SPR

41714400820_SPRGeneric.jpg
SPR memaklumkan, selepas jam 11.59 malam ini, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi di luar pusat mengundi serta menerusi saluran media sosial. Gambar fail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menghentikan segala bentuk aktiviti berkempen selepas tempoh rasmi berkempen berakhir pada 11.59 malam ini.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata selepas tempoh itu, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi di luar pusat mengundi serta menerusi saluran media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan platform lain.

"SPR turut mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Selain itu, Khairul Shahril mengingatkan pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan dan sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

"Pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi," katanya. 

Khairul Shahril menasihatkan pengundi untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

"Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari  8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan," katanya. 

Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan identifikasi selain dinasihatkan untuk terlebih dahulu membuat semakan maklumat pengundian bagi membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi menerusi pelbagai platform yang disediakan. 

"Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya," katanya. 

Selain itu, majikan diingatkan agar membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang layak sebagai pemilih berdaftar untuk keluar mengundi dalam PRN Johor esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR telah melaksanakan semakan peralatan mengundi termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi pada Khamis dan Jumaat sebelum diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran bagi memastikan kelancaran proses pengundian esok.

Proses semakan itu dilaksanakan bagi memastikan semua peralatan dan kelengkapan untuk Hari Mengundi adalah lengkap serta berada dalam keadaan baik.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement