Hentikan kemelut politik, ini masa kita bersama bantu PM ke-9 - Nanta

Lynch Cowan
Ogos 20, 2021 11:51 MYT
Alexander Nanta Linggi mengagumi keprihatinan Ismail Sabri terhadap keperluan Sarawak ketika menerajui Kementerian Luar Bandar dari tahun 2015 hingga 2018. - Foto BERNAMA
KUCHING: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Jelas Ahli Parlimen Kapit itu, semua pihak perlu akur dan menerima pelantikan Ismail Sabri itu kerana pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
setelah dipilih secara majoriti ahli dewan rakyat.
Justeru ini masanya buat seluruh ahli politik serta rakyat menghentikan segala kemelut politik dan memberikan tumpuan kepada menangani wabak COVID-19.
“Dengan pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-9 ini ia sewajarnya menjadi permulaan kepada penamatan kemelut politik yang membelenggu negara kita sejak lebih setahun lalu.
“Diharapkan apabila barisan kabinet diumumkan nanti ia boleh diterima supaya pentadbiran baharu ini nanti boleh meneruskan usaha memerangi COVID-19 dan juga menjayakan pelan imunisasi dan memulihkan ekonomi negara,” ujarnya.
Berkongsi pengalamannya, Nanta pernah berkhidmat di Kementerian Luar Bandar antara tahun 2015 hingga 2018 yang ketika itu diketuai Ismail Sabri.
Sepanjang tempoh berkenaan Nanta menyaksikan sendiri keprihatinan beliau kepada Sarawak dengan sentiasa mengambil berat keperluan rakyat negeri itu.
“Saya yakin beliau prihatin dengan Sarawak kerana ketika saya berkhidmat bersamanya di Kementerian Luar Bandar, beliau telah memberi peruntukan yang banyak kepada Sarawak bagi projek naik taraf rumah, jalan kecil, bekalan elektrik luar bandar dan sebagainya.
BACA: PM ke-9: Beri peluang kepada Ismail Sabri, ketepikan perbezaan fahaman politik
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
#Politik Malaysia #pm ke-9 #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Yang di-Pertuan Agong #COVID-19 #Muhyiddin Yassin #Dewan Rakyat #Alexander Nanta Linggi #GPS #Sarawak