KUALA LUMPUR: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, meminta orang ramai supaya memberikan peluang kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mentadbir negara dan memerangi COVID-19.

Katanya, setiap Ahli Parlimen perlu mengetepikan segala fahaman politik buat sementara waktu kerana Ismail Sabri telah dipilih secara sah oleh 114 Ahli Parlimen.

“Berikan peluang kepada beliau, dalam 20 tempoh bulan ke depan, untuk menjadi pemimpin dan melawan COVID-19 yang membimbangkan ini.

“Setelah COVID-19 ini dapat dibendung, kita dapat kembali hidup normal. Kemudian, jika kita mahu, kita dapat memilih PM secara damai dengan menggunakan proses demokrasi yang biasa,” ujarnya.

Selain itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap, semua parti yang berjanji menyokong Ismail Sabri bersatu membantu Perdana Menteri menangani isu-isu berbangkit tanpa mengharapkan jawatan dalam jemaah menteri.

Ujarnya, semua pihak perlu bersama-sama membantu Perdana Menteri untuk memulihkan negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Saya berharap semua parti komponen yang telah berjanji akan bersatu membantu Perdana Menteri yang baru dalam menangani isu-isu yang dihadapi dan tidak terlalu mengharapkan jawatan di dalam kabinet.

“Juga, ingin saya seru kepada semua parti politik lain untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyokong pilihan Yang di-Pertuan Agong agar Ismail Sabri dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas penting untuk memerintah negara di masa mencabar ini," jelas beliau. 

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, bagi Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, pelantikan Ismail Sabri diharap dapat menstabilkan politik negara dan fokus dapat diberikan kepada pemantapan strategi menangani pandemik COVID-19.

“Saya berharap dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini akan sedaya upaya menstabilkan keadaan politik dan keadaan negara dan beliau memberikan tumpuan 100 peratus terus menangani COVID-19 yang kita hadapi memandangkan kes ketika ini masih dalam keadaan membimbangkan,” katanya.

Sementara itu, senada dengan Lukanisman ialah Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Rahman Junaidi yang mendoakan agar arena politik negara kini akan menjadi lebih tenang dan seterusnya dapat memberi tumpuan untuk memerangi pandemik COVID-19.

Harapannya dengan pelantikan ini, Sarawak akan dapat bersama-sama mengecapi nikmat pembangunan yang selari dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Diharap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian kepada pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan menjadi nadi pembangunan negeri dan memberi manfaat kepada rakyat Bumi Kenyalang.

"Kita juga berharap di bawah pentadbiran Perdana Menteri kita yang baharu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perhatian yang serius dapat diberikan kepada sekolah-sekolah daif yang menjadi masalah utama terutama kepada masyarakat di luar bandar,” katanya.