Aktivis Hishamuddin Rais melalui peguamnya telah menghantar surat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta supaya tidak lagi menyiarkan klip video yang mengaitkan dirinya di Perhimpunan Agung UMNO.

"Saya menghubungi peguam saya. Hasil daripada perbincangan dengan peguam, kami bersependapat untuk menghantar surat tuntutan kepada Najib.

"Surat peguam saya ini bertujuan memberi amaran kepada Najib agar memberhentikan penyebaran klip video yang bersangkutan dengan diri saya yang ditayangkan di Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut firma guaman yang mewakili Hishamuddin, Daim dan Gamany, klip video itu dimainkan ketika Presiden UMNO mengumumkan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan ia memberi gambaran seolah-olah Hishamudin bersalah di bawah akta tersebut.

Dalam notis permintaan kepada Presiden UMNO semalam, frma guaman tersebut menegaskan kata-kata dan tindakan Najib mewujudkan risiko yang besar dan benar dalam mendatangkan prejudis semasa proses mahkamah.

Notis tersebut juga mengatakan mainan klip tersebut semasa ucapan Najib, yang disiarkan di televisyen dan dilaporkan meluas dalam media, merupakan subjudis dan menghina mahkamah.

"Kami diarahkan untuk memberikan anda notis yang mengatakan anda tidak boleh menyiarkan, menunjukkan, mengedarkan atau menyebarkan klip video tersebut di Perhimpunan Agung Umno, yang masih berjalan ataupun di mana-mana kejadian ataupun membuat dakwaan yang serupa terhadap anak guaman kami sementara kes masih berjalan di mahkamah.

"Sekiranya anda gagal mematuhi, kami mempunyai arahan untuk memulakan prosiding komitmen terhadap anda," kata firma guaman tersebut dalam notisnya.

Hishamuddin, 63, sedang menjalani perbicaraan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana ucapannya dalam satu forum tahun lepas.

Beliau diarahkan membela diri bulan lepas selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwa membuktikan kes prima facie.

Ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO ke-68 pada Khamis, Najib Akta Hasutan akan dikekalkan dan diperkukuhkan termasuk peruntukan menghina agama sebagai kesalahan undang-undang.