Hubungan erat kerajaan Sarawak dan Persekutuan bawa banyak kebaikan kepada rakyat - Taib Mahmud

Bernama
Mei 15, 2023 06:34 MYT
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (kiri) dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib hadir pada lstiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di Petra Jaya, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata hubungan erat antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan akan terus membawa banyak kebaikan kepada rakyat.
"Saya gembira dengan sokongan kerajaan Sarawak, Kerajaan Perpaduan telah dapat dibentuk. Insya-Allah, kerajaan yang stabil pasti dapat membawa kemakmuran kepada rakyat.
"Saya berharap Kerajaan Perpaduan dapat segera menyelesaikan tuntutan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan," kata beliau yang yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membangunkan Malaysia dengan lebih cemerlang.
Berucap pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini, beliau berkata di peringkat negeri, kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan inisiatif pembangunan strategik untuk melonjakkan ekonomi Sarawak.
Tun Abdul Taib berkata ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau juga telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak selain dapat membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.
"Perniagaan karbon dan penyelidikan oleh Sarawak Biodiversity Centre telah menghasilkan sumber ekonomi baharu yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak tetapi bakat anak-anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan.
"Sarawak mengamalkan ekonomi terbuka, banyak peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti disediakan. Saya menyeru rakyat terutama golongan muda untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran," katanya.
Beliau berkata hak rakyat juga akan sentiasa dipelihara sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial yang dilihat menjadi tonggak perpaduan dan toleransi kaum.
Persidangan DUN Sarawak kali ini akan berlangsung selama lapan hari sehingga 24 Mei ini dengan tiga Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022), Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023) dan Rang Undang-Undang Majlis Kraf Sarawak 2023.
Sebanyak 375 soalan akan dibangkitkan pada persidangan itu, terdiri dari 305 soalan bagi jawapan lisan dan 70 soalan untuk jawapan bertulis.
-- BERNAMA
#Yang Dipertua Negeri Sarawak #Abdul Taib Mahmud #pembukaan DUN Sarawak #Anwar Ibrahim