Hudud: Keutamaan pastikan kerajaan stabil, tunggu keadaan mengizinkan - Mohd Amar

Vivi Sumanti
Ogos 4, 2022 02:50 MYT
MOHD AMAR: Apabila kita senyap dari segi perundangan, usaha beri kefahaman kepada masyarakat diteruskan, sebagai contoh, sambutan Hari Hududullah ini. - Gambar fail
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keutamaan Pas pada waktu ini adalah memastikan kerajaan yang ada di Malaysia kekal dan stabil.
Pada masa sama, beliau mengakui, kedudukan Pas dalam kerajaan tidak kuat.
"Pas ini, antara matlamat perjuangan kita adalah untuk melaksanakan syariat Islam, termasuklah undang-undang hudud. Dan ia kekal sebagai agenda kita. Sebab, perjuangan kita tak berubah.
"Cuma, dalam keadaan tertentu, ada keutamaan. Macam sekarang, orang tanya, kenapa kita senyap? Sebab, keutamaan sekarang ini ialah memastikan kerajaan Malaysia kekal dan stabil.
"Dan kita tahu, kedudukan kita dalam kerajaan pun tak kuat. Jadi, kita tunggulah dulu," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Hududullah di sini hari ini.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian ketika ditanya sama ada hudud masih menjadi agenda perjuangan Pas atau sebaliknya, selepas berada dalam Kerajaan Persekutuan.
"Mungkin lepas pilihan raya sebagai contoh, atau suasana yang mengizinkan kerana kesedaran masyarakat dan sebagainya, kita kemukakan balik.
"Sebab itu, apabila kita senyap dari segi perundangan, usaha beri kefahaman kepada masyarakat diteruskan, sebagai contoh, sambutan Hari Hududullah ini, usaha kita bagi kefahaman kepada masyarakat.
"Pertama, kita nak sedarkan masyarakat tentang tanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam. Kemudian, nak bagi kefahaman kepada mereka yang berpandangan negatif terhadap undang-undang Islam," tambah beliau.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Hududullah yang menjadi acara tahunan kerajaan negeri, beliau memaklumkan, ia akan diteruskan bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat.
"Terdapat beberapa isu dalam perlaksanaan hukum Islam, pertama sekali kejahilan. Kalau kita guna bahasa itu, kejahilan masyarakat, orang tidak faham.
"Jadi, sebab itu, tanggungjawab memberi kefahaman ini penting. Ia di atas bahu para imam, ustaz-ustaz, ahli-ahli agama, mereka yang berpendidikan Islam.
"Mereka inilah yang bertanggungjawab memberi kefahaman kepada masyarakat. Antara masalah sekarang ini, ramai orang tidak faham.
"Apabila sebut undang-undang Islam, terus terfikir dalam kepala dia, potong tangan. Asal mencuri, potong tangan. Dia tidak tahu syarat-syarat atau kriteria-kriteria yang perlu dipatuhi," tambahnya.
Mohd Amar berkata sambutan Hari Hudud akan diadakan setiap setiap tahun sehinggalah wujud kesedaran menyeluruh serta kesediaan masyarakat terutama pengundi untuk menerima perlaksanaan undang-undang berkenaan.
" Macam di Kelantan Alhamdulillah majoriti orang Kelantan ini sudah boleh terima sebab itu dia mengekalkan kerajaan Pas di Kelantan tapi tanggungjawab kita ialah di luar daripada Kelantan, seluruh negara," jelasnya.
#Mohd Amar Nik Abdullah #hudud #PAS #kerajaan stabil