KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN - Besut) digantung selama tiga hari selepas tidak mendengar arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Md Nor, hari ini.

Ia selepas kekecohan berkaitan isu pindaan dua rang undang-undang menggunakan Bahasa Inggeris yang akan dibentangkan pada Rabu,.

Keputusan itu dibuat Ramli selepas Ahli Parlimen itu tidak duduk walaupun sudah diberi amaran sebanyak tiga kali.

Ramli: "Saya suruh duduk. Duduk. Duduk. Bentara, tiga hari, selesaikan (selepas Che Mohamad masih tidak duduk).

Che Mohamad: "Saya dah duduk dah pun. Keputusan dibuat selepas saya duduk. macam mana ni? Saya dah duduk dah, kenapa keputusan selepas? Sepatutnya keputusan semasa saya berdiri.

Ramli: "Saya dah beri amaran tiga kali".

Che Mohamad: "Ya, saya dah duduk dah. Keputusan masa saya duduk".

Ramli kemudian tetap dengan keputusannya, menggantung Che Mohamad selama tiga hari.

Ramli: "Bentara, jalankan tugas".

Che Mohamad: "Penjelasan sedikit. Tiga hari, bermula? Bermula esok dan hari ini. Sabtu masuk?".

Ramli: "Bermula hari ini, hingga Isnin".

Ahli Parlimen Besut digantung tiga hari daripada memasuki dewan

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh hampir 20 minit selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu) menegur perkataan bahasa Inggeris dalam dua rang undang-undang yang akan dibentangkan pada Rabu.

Menurutnya, perkataan itu menimbulkan kekeliruan kerana ia boleh membawa banyak maksud dalam Bahasa Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian menegaskan perkataan itu turut digunakan kerajaan sebelum ini namun tidak pula menjadi isu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudian meminta Takiyuddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN - Masjid Tanah) membawa isu tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sekiranya masih tidak berpuas hati.

Beliau kemudian membuat keputusan rang undang-undang tersebut diteruskan pembentangannya pada Rabu seperti dijadualkan.