KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berpendapat situasi terkini bukan masa yang sesuai untuk UMNO mengambil kesempatan mengambil jawatan Perdana Menteri.

Sebaliknya Nazri berpendapat, tempoh yang ada ini perlu digunakan oleh UMNO untuk mengutamakan kepentingan negara terutama rakyat yang menderita akibat krisis pandemik COVID-19.

"Ini adalah waktu semua Ahli Parlimen UMNO dan BN berbincang bagi mencari jalan bagaimana membantu kerajaan PN dalam mendepani krisis COVID-19.

"Ini bukan waktu hendak ambil kesempatan, tengok Perdana Menteri berada dalam keadaan susah, kita tolak dia ke tepi untuk kita pula jadi Perdana Menteri.

"Tindakan itu tidak betul. Sejak lebih setahun lalu, Datuk Seri Ismail Sabri hari-hari keluar di kaca televisyen dan media sosial, bercakap tentang bagaimana rakyat Malaysia mahu memerangi COVID-19.

"Jadi, ini bukan masanya untuk mengambil kesempatan bagi menjadi Perdana Menteri. Ini bukan masanya untuk mendahului kepentingan individu, tetapi perlu mengutamakan kepentingan negara terutama rakyat yang menderita akibat krisis pandemik," katanya dalam satu temubual bersama Sinar Harian pada Sabtu.

Nazri juga menegaskan, tiada keperluan untuk menubuhkan sebuah kerajaan interim seperti mana yang disuarakan oleh sesetengah pihak.

Beliau juga kecewa dengan sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan Ahli-Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) tanpa berbincang terlebih dahulu.

Selain itu, Nazri juga menempelak sikap Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan lebih berminat menjatuhkan kerajaan berbanding berbahas untuk kepentingan rakyat.

"Baguskah sikap sebegini? Sepatutnya apabila kerajaan membenarkan sidang Parlimen kembali berjalan seperti biasa, gunakan sebaiknya untuk bincang permaslahatan rakyat.

"Selama 22 bulan mereka menjadi kerajaan dan gagal mentadbir dengan baik, kini PH sibuk hendak ambil alih semula kerajaan? Presiden UMNO pula sibuk hendak kita bersama mereka...Mana boleh.

"Tindakan Zahid mengeluarkan arahan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN dibuat tanpa berunding dengan kami.

"Mana boleh...beliau kena bincang dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dahulu. Kami bukan lembu yang boleh dicucuk hidung," katanya lagi.