Bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan beliau akan bertanding sebagai calon bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Sah (saya akan bertanding),” katanya kepada Astro AWANI menerusi aplikasi WhatsApp.

Bekas pengerusi Felda itu akan menentang calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Port Dickson nanti.

Selain itu, memetik laporan Bernama pula, bekas Ketua Bahagian UMNO Telok Kemang (kini Port Dickson) itu berkata beliau yakin mempunyai peluang yang baik untuk menang memandangkan beliau merupakan anak tempatan dan sudah lama berkhidmat di kawasan tersebut.

Katanya, dengan pencalonannya itu bermakna beliau juga telah berundur daripada UMNO.

PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini manakala penamaan calon adalah pada Sabtu, 29 September dan hari undi awal adalah pada 9 September.

Setakat ini, lima nama telah mengesahkan bahawa mereka akan bertanding.

Mereka adalah calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazari, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad atas tiket Bebas, Ahmad Kamarudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang lagi calon Bebas, Stevie Chan.

Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.