Ismail Sabri ada kelayakan dan pengalaman - Hajiji
Syafik Shukri Jalil
Ogos 20, 2021 10:17 MYT
Ogos 20, 2021 10:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 adalah bertepatan memandangkan Ahli Parlimen Bera itu mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin negara.
Itu pendapat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyambut baik pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu negara seperti yang diumumkan Istana Negara pada Jumaat.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO itu di, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, GRS menyokong penuh pelantikan tersebut dan mengharapkan hubungan negeri dan Persekutuan akan membuahkan hasil, bukan hanya untuk mempercepatkan usaha membangunkan negeri ini tetapi juga hak-hak Sabah.
“Kami akan meneruskan perjuangan ini dan isu-isu berkenaan dengan hak, keutamaan dan keperluan Sabah juga akan diteruskan.
“Sekarang pergolakan kepemimpinan di peringkat Persekutuan telah diselesaikan, marilah kita semua bersatu, mengenepikan perbezaan, dan terus bergerak untuk memerangi pandemik COVID-19 serta membangun kembali ekonomi kita,’’ kata beliau.
Perdana Menteri ke-9 | Ismail Sabri punyai pengalaman memimpin negara
Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9
Dalam masa sama, Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas khidmatnya kepada rakyat dan negara serta sokongan dan sumbangannya kepada Sabah.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
#ismail sabri yaakob
#Perdana Menteri
#Gabungan Rakyat Sabah
#Ahli Parlimen Bera
#Hajiji Noor
#Politik Malaysia
#perdana menteri baharu