Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kenyataan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong jawatan Menteri Besar Selangor kekal kepada penyandangnya bukanlah keputusan rasmi parti itu.

Menurut portal berita Antarapos, pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor hanya akan diputuskan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti setelah diadakan mesyuarat.

"Itu pandangan peribadi, kita akan mesyuarat 10 Ogos. Pada 10 Ogos nanti keputusan parti. 10 Ogos mesyuarat (dan) kita patuh pada keputusan mesyuarat," kata Mohamad atau Mat Sabu seperti yang dipetik dari Antarapos.

Abdul Hadi pada Khamis mempertahankan Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurut Abdul Hadi, hasil penelitian dan kaji selidik dilakukan beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam PAS mahupun pihak luar, didapati majoriti rakyat Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Kenyataan Hadi tersebut bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh dua lagi parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP.

PKR pada Selasa lalu bagaimanapun telah bersetuju untuk memilih Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.