KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sekali lagi membangkitkan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang dan permohonan untuk menambah baik infrastruktur kesihatan di kawasannya.

Ujarnya, segala permintaan dan peruntukan telah dibuat secara berulang kali namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas yang positif dari pihak kerajaan.

“Sekarang ini, rakyat Bukit Gantang sedang ikuti apa yang saya cakap (Dewan Rakyat) mereka minta saya sebutkan satu per satu dan mereka juga dah sebut saya sudah minta macam-macam (peruntukan) tetapi tidak ada jawapan.

“Saya pun tak faham nak minta macam mana lagi dan hari ini saya nak mohon untuk naik taraf Pusat Kesihatan Bukit Gantang dan juga Air Putih dengan perbelanjaan sebanyak RM25 juta setiap satu.

“Sekarang ini saya memang minta macam-macam dan apakah kerajaan akan bersetuju atau tidak, kalau tak minta pun kerajaan tak setuju, minta dengan baik pun tak bagi, minta dengan kasar pun tak bagi… nak minta macam mana lagi?

“Saya dah sebut dalam permintaan yang lalu kalau diluluskan peruntukan untuk rakyat Bukit Gantang saya boleh menyokong kerajaan Anwar Ibrahim tetapi tiada jawapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebelum ini, beliau menyatakan pendirian untuk menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya segala permintaan termasuk peruntukan yang diminta mampu ditunaikan.

Jelasnya, beliau akan menjadi Ahli Parlimen Pembangkang kelima yang menyokong kerajaan selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, beliau menyifatkan, segala permintaan yang dikemukakan kepada kerajaan adalah bertujuan bagi membantu rakyat di Bukit Gantang yang memerlukan kelulusan menerusi Belanjawan 2024.