KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seawal Oktober, tidak sensitif terhadap isu semasa negara.

Fahmi berkata, Asyraf seharusnya memikirkan keadaan rakyat yang terjejas dengan harga barangan yang semakin meningkat.

“Saya rasa Datuk Asyraf seakan-akan tidak sensitif. Rakyat tengah sengsara cari kerja, dengan minyak dan ayam harga tinggi tetapi beliau mahu PRU. Saya rasa ini hanya memikirkan periuk nasi sendiri, dia patut fikirkan periuk nasi rakyat.

“Pada waktu ini, semua pihak sedang berusaha untuk membantu rakyat. Macam saya, tengah bantu rakyat di Lembah Pantai, tetapi beliau hendak PRU, saya rasa tidak sesuai,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa pada Sabtu.

Pada Jumaat, Asyraf memaklumkan bahawa PRU15 mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang dengan jangkaan sama ada September atau Oktober.

Perkara tersebut disuarakan berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Asyraf seharusnya mengikuti prosedur yang ada tanpa melangkaui proses yang ditetapkan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian