IPOH: Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri Perak membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Ketua Pemuda PH Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata pihak polis mempunyai tanggungjawab serta kuasa untuk menjalankan siasatan, selain mendedahkan dalang sebenar yang bertanggungjawab ke atas isu terbabit.

Isu berkenaan bukan sahaja menjadi sorotan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, tetapi turut hebat diperkatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

"ADUN Aulong, Nga Kor Ming telah mendedahkan tanah untuk cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran daripada kerajaan negeri.

"Saya sebagai wakil rakyat Malaysia dan pembayar cukai mempunyai hak untuk memastikan setiap keputusan kerajaan negeri yang ada hubung kait dengan isu kewangan perlu dipantau serta berakauntabiliti.

"Kami (wakil Pemuda PH Perak), meminta supaya pihak polis memulakan prosiding untuk menyiasat isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar dan mendedahkan siapa dalang yang sebenar kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir membuat laporan di IPD Ipoh pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim, Ketua Pemuda DAP Perak, Steven Chaw dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Muhammad Sheith Abdul Haris.

Katanya lagi, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dijangka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu sama, esok pagi.

Sementara itu, Steven mendakwa isu berkenaan sudah membabitkan tiga orang Menteri Besar, dan siasatan perlu dilakukan secepat mungkin.

"Kita perlu cari dalang sebenar yang menjual tanah (lapangan terbang) ini. Sebelum ini kita ada Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika zaman PH dan sekarang Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Saya rasa ketiga-ketiga ini (Menteri Besar) perlu ditanya dan mereka perlu beri kerjasama untuk bantu siasatan," katanya lagi.

Terdahulu, pada Jumaat lepas media melaporkan kerajaan negeri tidak akan berselindung dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan, sekiranya terdapat laporan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan terpulang kepada pihak yang terbabit sekiranya mahu membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.