POLITIK
Ito Blues Gang sertai PKR Cabang Titiwangsa

Shamsul Iskandar (dua dari kiri) menyerahkan baju T berkolar berlogo Keadilan Wilayah Persekutuan kepada Ito.
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan muzik legenda tanah air, Blues Gang, Mohd Arif Kendut atau lebih dikenali sebagai Ito, kini secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Titiwangsa.
Permohonan keahliannya diserahkan pada Ahad dalam satu majlis bersempena Permukiman Hala Tuju Keadilan Cabang Titiwangsa yang berlangsung di Kings Hotel, Melaka.
Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, borang keahlian Ito diterima oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hadir sebagai tetamu kehormat.
“Dalam majlis tersebut, Ito turut disarungkan baju T berkolar berlogo Keadilan Wilayah Persekutuan sebagai simbol penerimaan rasmi keahliannya.“Ito adalah reformis yang selama ini berjuang di belakang tabir melalui dunia seni, menyumbangkan karya-karya yang menyokong perjuangan membentuk sahsiah masyarakat,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut beliau, Ito turut mengambil bahagian dalam program permukiman selama dua hari itu sebagai langkah awal untuk lebih memahami dunia politik.
Sementara itu, Shamsul Iskandar menyifatkan penyertaan Ito sebagai satu nilai tambah buat PKR Cabang Titiwangsa.
“Semoga kehadiran Ito menjadi pemangkin semangat kepada golongan seni untuk turut serta bersama mempertahankan agenda Kerajaan MADANI,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami