'Jadi kerajaan perpaduan bukan bermakna jual prinsip parti'

Sinar Harian
November 24, 2022 00:15 MYT
Azalina berkata, terdapat beberapa varian perpaduan politik lain antaranya kerajaan majoriti kuat dengan pembangkang bertanggungjawab atau kerajaan minoriti. - Gambar fail
SHAH ALAM: Menjadi sebahagian kerajaan perpaduan tidak bermakna perlu menjual prinsip dan dasar sesebuah parti.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaliknya mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama.
Menurut beliau, setiap parti boleh memasukkan seluas mungkin janji di dalam manifesto tersebut.
"Ini membolehkan parti-parti berkenaan mengekalkan prinsip dan dasar masing-masing serta memastikan pengundi tidak rasa tertipu.
"Pembentukan kerajaan yang merangkumi parti dan gabungan berbeza boleh dilihat sebagai gabungan besar dan disifatkan 'Gabungan-Pasca PRU15'," ujarnya menerusi Twitter pada Rabu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan perpaduan demi negara dan rakyat.
Seri Paduka Baginda juga menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menjadi sebahagian kerajaan baharu.

Larangan Lompat Parti Pasca-PRU15 (Bahagian 2) pic.twitter.com/OcuBasVtMp

— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) November 23, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah Azalina, terdapat beberapa varian perpaduan politik lain antaranya kerajaan majoriti kuat dengan pembangkang bertanggungjawab atau kerajaan minoriti.
"Kini terpulang kepada parti politik untuk mengenepikan agenda peribadi dan perbezaan demi mengutamakan rakyat sekaligus sebagai tanda penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong.
"Seri Paduka Baginda telah menitahkan segera menyelesaikan krisis politik yang menyebabkan Parlimen tergantung dengan penubuhan kerajaan perpaduan," jelasnya.
Beliau juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah penyelesaian itu yang jelas mendahulukan rakyat dan menggalakan kerjasama antara bangsa, agama dan daerah. - Sinar Harian
#Azalina Othman Said #Kerajaan Perpaduan #dasar parti politik #manifesto bersama