Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
POLITIK

Jafry Ariffin dilantik Pengerusi UMNO Sabah

Bernama 10/12/2025 | 03:07 MYT
Datuk Jafry Ariffin, Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau. - Foto Facebook Jafry
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Jafry Ariffin hari ini dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pelantikan Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu telah dipersetujui Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.

Asyraf Wajdi turut mengumumkan pelantikan Ahli Majlis Tertinggi parti Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Sabah manakala Ketua UMNO Bahagian Kalabakan Samasuddin Yusop dilantik Setiausaha parti itu di negeri itu.

"Pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan parti serta mengkoordinasikan gerak kerja UMNO di Sabah secara lebih tersusun dan berkesan.

"UMNO menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti untuk memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu ini demi memastikan UMNO dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan mendukung kerajaan negeri Sabah," katanya.

Jumaat lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi.

-- BERNAMA

#UMNO Sabah #Jafry Ariffin #Asyraf Wajdi Dusuki #Bung Moktar meninggal dunia