POLITIK

Jangan ajar kami sopan kalau kamu tidak sopan - Akmal tegur sikap DAP

Firdaus Azil 15/01/2026 | 04:30 MYT
Dr Muhamad Akmal berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa pergerakan itu tidak akan berdiam diri sekiranya maruah agama, bangsa dan institusi negara dipijak, meskipun UMNO kini bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.

Dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, beliau mengingatkan bahawa politik bukan sekadar slogan atau kosmetik, tetapi berasaskan prinsip dan garis yang tidak boleh dikompromi.

Tanpa berselindung bahawa DAP adalah musuh yang nyata, beliau berkata, Pemuda UMNO masih cuba mengawal perhubungan memandangkan mereka dalam Kerajaan Perpaduan, namun ada garisan yang perlu dihormati.

“Mereka dah berani sentuh agama, sentuh institusi, perlekehkan simbol. Setiap kali Melayu, bangkit, Melayu marah, tak bermaksud dia menyerang, tapi hanya bertindak balas. Tetapi apabila kita bangkit dan kita lawan, dia pulak tuduh kita sebagai pelampau.

“Pemuda UMNO tidak gentar dengan tekanan. Kita bukan dilahirkan untuk jadi penonton. Dalam politik ada keimanan, ada akidah politik. Kita mesti tahu siapa kawan dan siapa musuh yang nyata,” katanya lagi.

Dr Muhamad Akmal mendakwa terdapat pihak dalam kerajaan yang berulang kali mencabar sensitiviti umat Islam dan orang Melayu, termasuk isu kalimah Allah pada stoking KK Mart, status halal, bendera Malaysia diterbalikkan, serta insiden minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan.

Beliau turut mengaitkan DAP sebagai pihak yang sering dilihat mempertahankan pelaku dalam isu-isu tersebut, sambil memberi amaran bahawa Pemuda UMNO akan terus bersuara tanpa kompromi.

Tegas beliau, mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan hak Melayu bukan tindakan ekstrem, sebaliknya adalah prinsip yang termaktub sejak negara merdeka.

“Jangan ajar kami tentang sopan ketika kamu sendiri tidak ada kesopanan. Jangan tuduh kami rasis kerana mempertahankan Perlembagaan. Jika garis merah dilanggar, Pemuda UMNO akan lawan habis-habisan,” katanya.

Akmal menambah, tindakan pihak tertentu yang sengaja mencuit sensitiviti agama dan bangsa kemudian berpura-pura terkejut apabila orang Melayu marah adalah tidak boleh diterima.

“Ini bukan DAP sahaja, tetapi semua pihak. Ada parti yang tadbir Selangor selama 18 tahun pun buat cadangan isu babi. Kalau nak duduk dengan kita, kena tahu garis merah kita. Ini bukan kali pertama, bukan kali kedua, tetapi berulang kali,” katanya.






#Muhamad Akmal Saleh #Pemuda UMNO #Perlembagaan Persekutuan #DAP