Jangan anggap keterbukaan, ketaatan, berdiam diri sebagai kelemahan UMNO - Saarani

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 19, 2020 02:37 MYT
Saarani (gambar) mendakwa tindakan yang dibuat Menteri Besar tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang sebelum ini dipersetujui bersama dan ditandatangani. - Gambar fail
IPOH: UMNO Perak melahirkan rasa kecewa dengan sikap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang didakwa tidak menghargai semangat muafakat dan kerjasama yang dipersetujui ketika membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad berkata, ketika ini, UMNO Perak mengelak dari mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri, yang dibentuk atas semangat muafakat dan kerjasama, fokus sepenuhnya kepada usaha mendepani impak COVID-19.
Namun, katanya, suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan Ahmad Faizal dilihat membelakangi semangat itu.
“Tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan-tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan ditandatangani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ahad, Pergerakan Pemuda UMNO Perak menuntut penjelasan Saarani mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar.
Saarani berkata, beliau mendengar penjelasan Menteri Besar berkaitan pelantikan itu di media yang secara terbuka menyatakan tidak perlu mendapat kebenaran dari UMNO.
“Perlu saya jelaskan bahawa, ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak - Bersatu, UMNO dan Pas - telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil, sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain,” ujarnya.
Oleh itu, katanya, adalah wajar pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam kerajaan, dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
Menurutnya, harus diingat, kerajaan negeri ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman "politik yang tidak sihat".
Bagaimanapun, kata Saarani, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati.
“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri,” tambahnya
Saarani yang juga Exco kerajaan negeri menegaskan bahawa UMNO dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali mereka bersuara.
Menurutnya. walaupun mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri, namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, mereka tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada PPBM.
“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.
“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” tegasnya.
#UMNO #PAS #Bersatu #Saarani Mohamad #Ahmad Faizal Azumu #Perak #Muafakat #kerjasama #politik #Perikatan Nasional #Aznel Ibrahim #Menteri Besar #Exco #pelantikan #setiausaha politik